Solat merupakan tiang agama. Selain wajib ditunaikan, ia mencegah kita dari perbuatan mungkar dengan syarat, solat itu haruslah dilaksanakan dengan cara dan tertib yang sempurna. Firman Allah, maksudnya: “ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45).
Bagi orang yang menjaga solatnya, Alhamdulillah. Tahniah buat anda. Tapi, kadang-kadang solat kita tidak khusyuk. Fikiran kita menerawang ke lain. Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].
Oleh itu, kali ini WanitaSihat ingin kongsikan kepada pembaca yang dirahmati Allah sekalian, tips bagaimana ingin khusyuk dalam solat.
- Sentiasa menghadirkan hati meyakini kebesaran dan kekuasaan Allah.
- Menghadirkan hati mengakui tentang kelemahan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa memerlukan pertolongan Allah.
- Menghadirkan hati mengakui segala kemewahan dunia dan kesenangan adalah sementara.
- Tidak tergesa-gesa dalam menunaikan solat kerana tergesa-gesa boleh membawa kepada luputnya beberapa perkara penting untuk khusyuk.
- Hendaklah menunaikan solat pada awal waktu dan secara berjemaah.
- Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih daripada najis. Begitu juga dengan sejadah. Ia hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan solat.
- Dalam suasana yang aman tanpa suara bising daripada kanak-kanak mahupun menerusi televisyen atau radio.
- Imam hendaklah seorang yang elok bacaannya kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak dibenci oleh ahli jemaah.
- Bersihkan fikiran daripada masalah hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.
- Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu jika berasa perlu berbuat demikian. ini kerana orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperoleh kekhusyukan.
- Tidak berada dalam keadaan lapar atau terlalu kenyang kerana orang yang lapar hanya memikirkan untuk makan. Begitu juga dengan orang yang terlalu kenyang berada dalam keadaan tidak selesa dalam setiap pergerakannya.
- Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga. Badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk dalam solat.
- Hati hendaklah hadir dalam solat, bukannya melayang tak tentu arah.
- Memahami makna bacaan dalam solat.
Itulah serba sedikit yang dapat WanitaSihat kongsikan buat anda, yang juga sebenarnya adalah peringatan buat diri sendiri yang kadang-kadang tidak terlepas dari membuat kesilapan. Sama-samalah kita memperbaiki solat kita dan amalan kita yang lain. InsyaAllah, Allah akan mempermudahkan jalan kita dan memberi kita balasan pahala yang setimpal dengan usaha kita.
0 comments:
Post a Comment