"YEAH! Sampai jugak aku akhirnya kat KL ni (tempat lahir aku yang comel ini dahulukalanya). Yei!!! Kuala Lumpur! I’m coming!" jerit Zack sambil terlonjak-lonjak semacam kera sumbang di Pudu Raya petang itu.
Orang ramai hanya memandangnya dengan hairan. Kena sawan ke budak ni? Tak pun terlupa makan ubat sakit jiwa? Namun, Zack tidak mempedulikan semua mata yang memandang, yang penting, aku dah sampai! Dan aku nak enjoy, of course!
"Eh, dah nak maghrib rupa-rupanya!" kata Zack seorang diri sambil melihat pada jam di pergelangan tangannya. Aku singgah surau la kejap.
Zack berjalan masuk ke dalam surau yang agak sempit di Pudu Raya itu kerana perlu berasak-asak bersama dengan orang lain. Ada yang tidur, ada yang bergayut dengan handphone, yang bergosip pun ada!
"Aduh, kalau nak buka kedai kopi pun berpada-pada la. Ini dalam surau penuh rahmat jugak dia nak bukak!" Bising Zack, dalam hati. Karang dikata wayar tercabut pulak kalau orang nampak dia bercakap seorang diri.
Selepas mengambil wuduk, Zack kembali ke ruang tempat solat. Matanya digosok-gosok dan dikelipkan berkali-kali. Kemudian, dia mula menyepah-nyepahkan telekung dan berjalan ke sana sini. Dijenguk-jenguk ke luar surau, diangkat sejadah yang sedang dihampar oleh seorang mak cik.
"Eh, kenapa ni?" tanya mak cik penuh hairan. Dia rasa terganggu dengan tindakan Zack itu, namun masih bersabar.
"Ahh! Beg aku! Mana dia? Mana??" Semua mata mengarah padanya.
"Eh, kenapa kau masuk sini? Sini tempat sembahyang orang perempuanlah!" Mulanya tiada siapa pun menyedari dan mempedulikan kehadirannya, namun selepas dia menjerit tadi, semua orang pun mula mengattacknya.
"Eh, mana ada! Saya perempuanlah!" Zack mempertahankan diri. Tetapi, semua orang sudah mula menghampiri dirinya dan menampar-nampar muka dan badannya. Ada yang menggunakan tangan, kaki, kasut pun ada! Dahsyat siot!
Zack terus menjerit menafikan yang dia adalah seorang lelaki. Namun jeritannya langsung tidak diendahkan. Orang ramai terus-terusan menyerangnya. Zack cuba menghadang muka dan badannya menggunakan kedua-dua belah tangan.
"Penipu!! Mana dada kau kalau betul-betul kau perempuan, hah?" jerit seorang mak cik dengan muka yang garang semacam raksasa di Tasik Chini.
"Entah-entah pondan!" Tuduhan lain pula dilemparkan kepadanya.
"Saya masuk nak solat aje, bukan nak buat apa-apa pun! Tolong la, jangan pukul lagi!!!" Zack cuba mempertahankan diri. Huh! Sakit jiwa, beb!
"Baik kau keluar sebelum kita orang panggil pak guard!" jerit seorang wanita muda. Macam la aku ni nak rogol anak perempuan dia? Sampai bersemangat halau aku macam ni??
"Eh eh... apa main raba-raba pulak ni? Ya ya...! Saya keluar!!" Aduh! Dah la beg hilang, kena halau pulak tu! Nasib tak lebam! Mangkuk ayun betul la. Apa nasib aku ni? Dah jatuh ditimpa tangga besi pulak! Ya Allah... Kau kena tolong aku! Dia mula meraba-raba poket seluarnya. Berulang-ulang kali, poket atas, poket bawah, depan, belakang, semacam babun terkena kurap pun ada.
Apa pun tak ada! Ahh, mati aku macam ni. Jadi tenggiling kurus la aku!" Dia mengeluh berat, kemudian mula berjalan-jalan tanpa arah. Dompet, kad pengenalan, handphone, semua hilang! Jahanam betul!! Siapa keparat yang curi beg aku ni?? Beg buruk pun ada hati dia nak curi jugak! Macam mana aku nak hidup ni? Hatinya resah, sudah la dia keseorangan di bandar besar gedabak ni, tiada sesiapa pula yang dapat diminta bantuan.
Zack berjalan perlahan-lahan dengan muka berkerut seribu.
"Kak, ada kerja kosong tak kat sini?" tanya Zack pada seorang wanita dalam usia pertengahan tiga puluhan dan berkulit cerah.
"Kamu ni orang apa? Bangla ke?" Wanita itu bertanya hairan sambil ditelek-telek wajah dan tubuh Zack berulang-ulang kali. Rambut kuning macam ni dia kata Bangla? Mata biru dan kulit putih, jauh sekali kalau aku ni saudara Pak Bangla pun!
"Apa pulak Banglanya kak! Saya orang Melayu ni. Tolong la, kak. I.C saya dah hilang. Ada orang curi beg saya." Zack merayu bersungguh-sungguh dengan mata yang bersinar mengharap.
"Sorry la, dik. Akak tak dapat tolong la kalau macam tu. Akak tak nak kalau nanti orang kata akak ni bela PATI pulak," balas wanita itu, yakni pemilik kedai makan di dalam bangunan Pudu Raya itu.
"Ahh! Kenapa semua orang KL macam ni?? Apa dah jadi ni? Dah lapan belas kedai aku tanya, lapan belas kedai juga bagi jawapan yang sama! Aku nak gila dah ni! Yahh!!" Belakang kepalanya dipegang. Rambutnya diusap-usap dan digosok-gosok, membuatkan rambutnya serabai seumpama hatinya yang kalut dan tidak tenang ketika itu.
Zack terduduk di atas kerusi di kedai makan itu. Kepalanya diletakkan di atas meja. Terasa berdenyut-denyut kepalanya kerana memikirkan tentang masalah yang langsung tidak dapat diselesaikan lagi.
"Adik, kalau tak nak makan, boleh tolong pergi tak? Akak ada costumer lain ni."
Zack mengangkat kepalanya dan menjeling tajam ke arah kakak tadi. Dah la tak nak tolong aku, halau-halau pulak! Ini dah melampau tahap Planet Pluto ni!
"Yaah!! Saya pergi!" balas Zack lalu bangun dan menYapak kerusi besi di kedai itu. Aduh! Bangang betul kerusi ni! Bengkak lima hari kaki aku! Itu la... tak ada penyakit, pergi cari penyakit, kan dah kena. Padan muka!
Sambil terhincut-hincut, Zack meninggalkan deretan kedai makan di situ, lalu berjalan menuju ke mana-mana tempat tanpa arah tujuan. Dia cuma mengikut langkah kakinya. Lagipun dia sudah penat hendak bertanyakan tentang kerja, sebab jawapan yang diterima sama saja.
"Minta maaf, kami tak dapat nak bantu adik.".
Huh!! Apa punya malang nasib aku ni! Semua orang macam dah pakat sengaja nak pulaukan aku and tak nak bagi aku kerja! Habis, macam mana aku nak makan and hidup?? Zack berteriak sendiri di dalam hati kecilnya.
Selepas penat berjalan, dia berhenti dan duduk menyandar di atas lantai berhadapan dengan Hotel Ancasa. Perutnya sudah lama berbunyi. Macam orang berkompang and menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru bunyinya.
Dia menutup mukanya dengan topi Nike yang sudah berbau masam kerana peluh. Akhirnya, dia pun terlelap di situ tak sampai lima minit. Kedengaran dengkurannya yang sedikit kuat itu. Sedap benar tidur sampai berdengkur-dengkur!
"JANGAN! Tak nak! Saya tak buat salah apa-apa! Tolonglah lepaskan saya, bang!" Zack bersuara kuat. Namun, rayuannya langsung tidak dihiraukan oleh tiga orang lelaki yang berpewatakan seperti watak jahat dan kejam di dalam filem atau pun drama Melayu.
"Ha ha ha! Lain kali kalau tak nak kena culik and kena jual, jangan main tidur sebarangan aje! Budak perempuan kena duduk rumah malam-malam! Siang-siang pun keluar kena berteman! Padanlah kalau kena culik pun! Ha ha ha!!!" jerit salah seorang daripada tiga lelaki tersebut sambil tangannya meraba-raba tubuh Zack.
"Layan Dato’ ni malam ni!! Itu pun kalau kau tak nak kena bunuh!" jeritnya lagi kuat. Boleh pecah gegendang telinga kena jerit macam tu!
"Bunuh? Tak nak!! Saya muda lagi! Uhhh! Tak nak! Tak nak jugak!" Zack terjerit-jerit seperti orang histeria sambil badannya meronta-ronta minta dilepaskan.
"Huh!" Zack tersentak dan terkejut daripada tidurnya lalu membuka matanya pantas.
"Ya Allah! Alhamdulillah... mimpi aje rupa-rupanya! Heh, ni la padahnya tidur tak baca doa, macam-macam mimpi datang!" Zack bising sendiri sambil mengelap air liurnya yang hanya menunggu masa untuk menitik ke atas lengan bajunya. Dia menguap kecil dan mengeliatkan badannya sepuas hati. Pinggangnya pula mengeluarkan bunyi meletup. Kuat. Mungkin kerana terlalu lama duduk di atas lantai tanpa apa-apa lapik.
Kemudian, dia melihat pada topinya yang telah jatuh dan berada di sisinya. Mata kirinya ditenyeh-tenyeh menggunakan tapak tangan kanan. Dalam dalam samar-samar kegelapan malam, dia ternampak dua keping duit kertas Ringgit Malaysia seringgit, terlipat dua di dalam topinya. Matanya yang ala-ala susah nak terbuka sepenuhnya tadi, terus membesar dan membulat sehabis yang mungkin!
"Ya Allah! Rezeki jatuh dari langit! Thank you, Allah!"
Lagu nasyid Raihan dialunkan sambil langkah kakinya dilangkah panjang-panjang menuju ke kedai makan berhampiran. Dengan senyum yang masih mengembang, Zack melangkah masuk ke dalam kedai makan yang masih dibuka itu walaupun waktu sudah menginjak hampir ke pukul tiga pagi. Dia menarik kerusi di situ dan duduk dengan senang hati.
"Ya, dik... nak makan apa?" tanya seorang abang yang baru bangun dari tempat duduknya selepas Zack melangkah masuk ke dalam kedai. Abang itu sedang menonton perlawanan bola sepak yang dibawakan secara langsung di stesyen TV bersama beberapa rakan sekerjanya yang lain tadinya.
"Bang, nasik apa yang ada... yang harganya cuma dua ringgit kat sini?" Zack bertanya. Jari tangan kanannya dicantum dengan jari sebelah kiri sambil dahinya berkerut sedikit merenung abang di hadapannya itu.
"Mana ada makanan harga macam tu kat sini, dik, oiii...."
Abang pelayan itu menjawab sambil sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket apron yang sudah agak lusuh dan tercalit bermacam warna pada permukaannya. Mungkin ada kuah yang tertumpah ke apronnya, tak pun abang ni pemalas nak basuh apron. Zack berfikir sejenak di dalam hati.
"Kat tempat saya, ada aje nasik harga macam tu. Tolong la, bang. Tiga minit lagi kalau saya tak makan, arwahlah saya, bang. Nasik dengan telur seketul tambah kicap pun dah okey, bang. Tak ada kicap, garam pun jadilah."
Abang di kedai itu merasa kasihan pulak melihatkan Zack yang sudah ala-ala Michael Jackson itu. Sudah la kurus kering macam papan lapis, merayu-rayu pulak meminta nasi.
"Yalah, dik. Tunggu kejap, okey?" Abang itu pun menyimpan pen dan note booknya ke dalam poket apronnya, kemudian menapak ke ruang memasak di belakang kedai. Kedengaran dari jauh sudip berlanggaran dengan kuali dari arah dapur.
Uhh!! Sedapnya bau! Kalaulah aku ni budak yang tak ada good manners, memang aku tak tunggu lama nak terjah masuk dalam dapur tu! Tapi, mujur aku masih ada akal yang waras walaupun perut dah lapar tahap dewa dah ni! Zack menjerit kuat di dalam hati.
Tidak lama kemudian, abang tadi datang dengan menatang dulang menggunakan sebelah tangannya sahaja. Zack menelan liur untuk sekelian kalinya.
"Nah, abang belanja. Makan elok-elok tau...." Abang itu berkata perlahan selepas dulang yang ditatangnya tadi, diletakkan di atas meja Zack.
"Ya Allah! Baiknya hati abang! Moga abang cepat kahwin! Amin...." Tangannya yang ditadahkan seperti berdoa itu, diraupkan ke muka. Semangat Zack mula berkobar-kobar melihat makanan di hadapannya.
Alhamdulillah! Rezeki yang tak disangka-sangka!
Zack segera bangun dan membasuh tangannya di singki berdekatan.
"Tahu pulak dia aku tak kahwin lagi." Abang itu berbisik perlahan dan kemudiannya berlalu. Dia kembali duduk di hadapan televisyen bagi meneruskan tontonannya tadi.
Zack pulak apa lagi. Dah dapat nasi dengan telur mata kerbau sebiji pun, dia dah nampak macam ayam panggang seekor depan mata. Tunggu apa lagi, beb... melantaklah! Dengan gelojohnya dia menyuap nasi dengan kuah sup yang dituang habis semangkuk kecil dan digaul bersama nasi itu.
Abang tadi hanya menggeleng-geleng kepala melihat ke arahnya. Orang lain pula memandang dengan pandangan yang agak sinis ke arahnya. Ah, aku peduli apa dengan korang! Aku lapar nak mati dah ni, korang bukan tau! Selepas habis merenung orang lain dari ekor matanya saja, Zack meneruskan suapannya. Semakin bertambah-tambah gelojohnya menelan nasi putih itu tanpa mengunyah sehabisnya.
"Bang! Tolong!! Tercekik!" Zack menjerit sambil tangannya melambai-lambai dan sebelahnya lagi menepuk-nepuk dadanya.
"Ya Allah!!! Hah, tu la... lain kali makan baca doa." Zack menyambut huluran segelas air yang diberi oleh abang kedai tadi. Abang itu menepuk-nepuk perlahan belakangnya. Terbatuk-batuk dia seketika.
"Burp!! Alhamdulillah... terima kasih, bang! Sini tak ada balai polis ke, bang?"
"Kenapa? Apa dah jadi?" Abang tadi duduk menghadap Zack. Sikunya disentuh dan digaru sedikit. Matanya memandang tepat ke arah Zack di hadapan.
"Beg saya kena curi. Habis semua. Barang-barang penting semua hilang. Macam hampeh aje orang yang curi tu!" Zack berkata kuat sambil tangannya digenggam kemas. Kemudian, meja plastik berwarna putih berbintik kelabu kecil itu ditumbuk perlahan. Tak boleh tumbuk sepenuh hati and kuat-kuat. Roboh pulak meja kedai orang ni karang, buat naya aje! Dah la duit pun tak ada nak bayar ganti rugi!
"Ada. Tapi jauh sikit. Esok abang bawakan." Abang itu membalas lembut. Bibirnya dikepit. Matanya mula meliar ke arah luar kedai makan itu pula.
"Tak apa, bang. Saya pergi sendiri. Abang bagi aje koordinat dia, saya cari." Zack membalas semangat.
"Ala… tak apa. Abang free esok." Beria-ia abang yang berkulit tona coklat cerah itu menawarkan diri untuk menemani Zack esoknya.
"Din! Woi, ada orang nak kira tu! Menyembang aje kerjanya!" Tiba-tiba rakan sekerja Abang Din itu memanggilnya dan kemudian membebel sesuatu seperti lagak mak nenek tua. Pandai menyuruh and mengarah orang, yang dia tu duk tercongok menengok TV tak apa pulak?
"Okey, sekejap aje pun! Dik, nama apa? Panggil abang, Abang Din aje, okey?" tanya Abang Din dengan mesra sambil mula angkat punggung. Dia lantas menuju ke arah meja tempat pelanggannya yang ingin membuat bayaran dan mengira bil mereka.
Zack juga bangun dan mengekor Abang Din dari belakang.
"Panggil, Zack. Okehlah, bang. Saya gerak dulu. Nak cari balai. Tak tidur saya nanti. Terima kasih banyak, bang!" Zack berkata ramah. Kemudian, menghadiahkan kuntuman senyum seindah suria kepada Abang Din.
"Singgah la lagi kalau ada masa, Zack!" Abang Din sempat berpesan pada Zack sambil tangannya menulis sesuatu di atas sebuah note book kecil, mengira-ngira jumlah harga makanan yang dikenakan pada pasangan itu.
"Insya-Allah, Bang Din. Assalamualaikum!" Zack memberi salam pada Abang Din, lalu tangannya diangkat tinggi melepasi kepalanya.
"Apasal kau ni, tiba-tiba aja buat baik pergi belanja budak tu? Nak kata kau nak tackle dia, dia tu jantan aku tengok. Tapi tak tau la pulak aku kalau kau ni homo?" sakat seorang teman sekerja Abang Din kerana dilihatnya lelaki itu sedang asyik tertoleh-toleh memandang ke arah Zack yang sedang berjalan dan semakin menjauh dari tapak kedai mereka.
"Woo, woo...! Kau ni agak-agak la, kawan! Kejam betul statement!" balas Abang Din selepas bahu temannya itu ditumbuk kuat.
"Woi, bengkak ungu la bahu aku ni, beb! Tak sayang kawan betul!" Bahunya diurut-urut sendiri selepas ditumbuk kuat oleh Abang Din. Dahinya dikerutkan tebal. Matanya dikecilkan.
"Tak ada la. Aku teringat adik aku kat kampung. Tu aje. Kalau aku homo, dah lama aku ngurat kau! Kau hensem and maskulin apa. Ha ha ha..." jawab Abang Din lalu ketawa sepuas hati.
"Woii! Gila, tak sanggup aku nak couple dengan kau, Din!" Mereka berdua pun ketawa kuat. Biasa la tu, bergurau walaupun dalam hal-hal sensitif, mereka tidaklah begitu mengambil pusing tentang apa yang diperkatakan oleh masing-masing.
BAB 2
"WOI! Gila kau kejar aku buat apa!" jerit Zack sambil melarikan diri daripada dikejar seekor anjing hitam tidak ada ekor. Uhhh... mati aku kalau kena terkam ni! Habislah muka aku yang teramat comel ni kalau aku jatuh! Uwaaa!! Mama!!
"Otak! Berfungsilah kau! Apa aku nak buat ni?! Tau la aku johan lari pecut dulu! Tapi tu 100 meter aje! Ni, dah dua kilometer kau kejar aku wahai anjing!" Tu la... lalu lagi lorong gelap pagi-pagi buta, kan dah kena kejar. Adei laaa... macam dah jauh aje aku lari. Kenapa anjing ni berkenan sangat kat aku ni? Parah... parah...!!!
"Bang! Tolong! Ada anjing kejar!" Zack berhenti seketika sambil menarik nafas. Dia menegur seorang lelaki di tepi jalan gelap di situ. Apa dia buat pagi-pagi buta kat situ?
"Lari la... tunggu apa lagi?" kata lelaki itu lemah dengan matanya yang kuyu. Ceh! Bukan nak tolong!
Salakan anjing semakin menghampiri. Lututnya bergetar, nafas pula mula tersangkut-sangkut.
"Yahh!!! Pejuang berani mati! Ambik kau, anjing! Nah!!!" Zack mengambil botol kaca kosong yang berkemungkinan sebiji botol arak yang terletak bersebelahan dengan abang bermata kuyu tadi dan membaling ke arah anjing tersebut.
Anjing itu terhenti seketika. Terkejut kut! Tapi botol tu tak kena pada sasaran. Kau tunggu la, Zack! Action aje lebih. Berani mati konon! Uwaa, mami!!
"Apa lagi, cabut!!!" Zack mula berlari lagi. Mujur juga lorong gelap itu sudah sampai ke penamatnya. Zack berlari laju sekuat hati dan melintas jalan besar di situ.
Ada tak ada kereta, aku tawakal aje la. Ya Allah!!! Akhirnya dia berjaya melepaskan diri daripada dikejar anjing gila sawan itu.
"Sewel jugak anjing tu! Tau la aku comel, tak payah la main kejar-kejar dengan semangat waja macam tu! Huh! Makan viagra agaknya, tu yang tak boleh beza anjing dengan orang! Heh!" Zack membebel sendiri. Tekaknya kering. Baju tak payah sebutlah, ikan kering pun kalah kalau nak lawan dengan ‘kewangian’ bajunya itu. Ahh, serabai gila aku, macam nenek kebayan dah ni!
Zack membetul-betulkan rambutnya menggunakan jarinya dan dilurut kemas. Tangannya pula laju mengibas-ngibas baju T-Shirtnya yang sudah basah lencun. Berpeluh sakan dah dia. Uhhh... nak gila dah aku ni!! Dari kejauhan, secara tiba-tiba kedengaran suara muazin mengazankan azan.
"Eh... baru Isyak ke?" Jam di pergelangan tangan dibelek. Hah? Isyak apanya, subuh dah pun! Mangkuk tingkat jugak aku ni! Idea di kepala tiba-tiba datang. Jeng jeng jeng. Surau! Yeah! Di manakah engkau? Berlari-lari dia mencari, dari manakah azan itu dilaungkan. Rasa macam dekat dah. Tapi, tak nampak pun rupa masjid atau surau kat sini? Ke... aku ni yang berkhayal tak?
"Pak cik!" jerit Zack kuat sambil menyentuh belakang bahu seorang pak cik yang sedang menyapu sampah di hadapan kedai runcit.
"Astaghfirullah...! Kamu ni, kalau ya pun, bagi la salam dulu. Ini main sergah-sergah aje. Matinya aku nanti, tak ke naya!" Pak cik itu berkalih memandang ke arah Zack. Warna kulitnya yang agak gelap itu serupa dengan orang minyak. Hanya dua biji matanya yang dibulatkan itu jelas kelihatan. Rambutnya hardcore kerinting, mula membebel dengan nada menjerkah pada Zack. Menyembur air liur, siot!
Zack menelan air liur yang terasa pahit di tekak. Memang patut pun pahit, dah sehari tak berus gigi.
Semua ni, pencuri beg aku tu la punya pasal! Ceh, kecoh pulak. Kalau ada berus gigi pun, macam aku rajin nak berus-berus pulak! He he he... Zack sempat bermonolog sendirian dan ketawa dalam hati.
"Assalamualaikum, pak cik! Minta maaf, nak tanya, mana ada surau dekat-dekat sini?" Zack berkata perlahan, sebagai memenuhi ‘permintaan’ pak cik tersebut.
"Huh, ada aje kat situ!" jawab pak cik itu dengan nada yang tidak menyenangkan hati dan membingitkan telinga.
Eleh, poyo nak mati pak cik ni! Mujur aku ni budak baik, kalau tak, dah lama aku terkam-terkam pak cik ni! Tanya baik-baik, jawab kerek-kerek! Cepuk jugak karang, kat kepala botak tu! Eh, cerah bersinar-sinar, boleh buat cermin muka kepala pak cik ni!
"Apanya lagi? Pergilah! Dah la bau ikan masin cambur belacan, tercongok-congok pulak depan kedai aku ni!" jerit pak cik itu lagi dengan muka yang sengaja dibengiskan.
Uhhh... takut pulak aku dengan muka dia? Takat muka macam sepuluh budak hitam tu, ingat aku nak takut ke? Boleh jalan daa....
"Ya la, pak cik! Nah, hadiah! Special imported!"
"Kurang asam punya budak!" Zack berlari-lari anak selepas mengangkat ketiaknya betul-betul di depan hidung pak cik kerek nak mati tu. Hah! Baru kau tau siapa aku! Zack memperlajukan larian ‘marathon’nya apabila terlihat yang pak cik tadi sedang mengejarnya dengan penyapu di tangan.
Tak jauh dia dikejar, pak cik itu dilihatnya berhenti sambil mengurut-ngurut dadanya sendiri.
Tu la… perut boroi sangat, pakai baju pagoda pun pecah-pecah baju tu. Mesti ada darah tinggi. Tak pun kencing manis! Tu la… tak larat lari, ada hati nak kejar-kejar orang pulak!
"Hisy!! Hina sangat ke aku ni?" Tiba-tiba mood sedih muncul pulak. Ketiaknya yang sudah berpeluh sakan itu diangkat sedikit, lalu dicium. Fuh! Ni bukan bau ikan masin campur belacan, ni dah tahap bau tahi kambing dah ni! Segera ketiaknya yang diangkat tadi, diturunkan kembali.
Hu hu hu... berpinar mata aku bau ketiak sendiri. Padanlah pun pak cik tua tadi mengutuk aku tak ingat! Tak hairan jugak aku kenapa dia dengan semangat wajanya menghalau aku.
Dia pun berjalan-jalan mencari surau sambil matanya dikerling ke kiri kanan, kepalanya pula terjenguk-jenguk ke sana ke mari. Entah mana-mana yang pak cik tadi tu tunjuk. Nak tanya orang lain lagi?
Tolong la... dah tak sanggup lagi nak kena kutuk! Zack mengelap peluhnya yang semakin banyak merenik di dahinya yang cerah dan bersih tanpa sebarang cela itu. Mulutnya mengeluh sedikit sambil membebel sendiri kerana kehausan.
Tak lama kemudiannya, akhirnya dia pun sampai di sebuah surau di situ. Entah macam mana dia terjumpa, dia sendiri pun hairan. Mungkin nasib baiklah orang kata. Tapi, betul ke nasib baik…?
"Huh! Surauku yang tercinta!" Zack masuk dengan gembiranya ke dalam surau yang sudah agak tua itu dan terus membaringkan badannya ke atas lantai yang berlapikkan karpet lusuh di situ.
"Selesanya...." Kaki dan tangannya digerak-gerakkan seperti kupu-kupu terbang. Bibirnya mengukir senyum comel.
Lega sikit pinggang aku yang dah rasa macam nak tercabut ni!
"Nak, sini tempat solat untuk perempuan. Lelaki sebelah sana, nak." Tiba-tiba datang pulak seorang mak cik tua yang nampak lembut dengan riak keibuan.
"Mak cik... saya ni perempuan," balas Zack lalu segera duduk bersila. Kepalanya yang tiba-tiba gatal itu digaru-garu. Rambutnya gugur sehelai, lalu dibuang ke sebelahnya. Matanya memandang tepat ke arah mak cik yang menegurnya tadi. Kemudian, dia memandang sekeliling. Terdapat dua orang sahaja wanita yang sudah bertelekung di situ.
"Perempuan? Betul ke ni, nak?" Mak cik yang masih bertelekung itu mula memandangnya dari atas ke bawah. Cukup tiga kali. Dahinya mula berkerut tiga ribu, manakala matanya tidak alih-alih daripada memandang Zack. Semacam ada scanner pulak yang boleh menscan tubuh badan Zack bagi mengesahkan bahawa dia ialah seorang perempuan.
"Betul, mak cik." Zack menjawab jujur dan terangguk-angguk kemudiannya. Seluar jean birunya ditarik sedikit ke atas kerana secara tiba-tiba dia berasa tidak selesa dengan cara duduknya itu.
"Eh! Awak lelaki, sebelah sanalah, bukan sini! Awak ni, sah-sahlah tak reti membacakan? Entah-entah, mengeja pun tak lepas! Signboard depan tu dah tulis, Muslimat, bukan Muslimin!" jerit seorang gadis yang sudah lama merenungnya tanpa dia sendiri menyedari. Kain telekung putihnya itu ditelangkup ke atas dan diikat tak ubah semacam seorang ceti di dalam filem-filem Tamil yang sering ditayangkan di TV. Gadis tadi mula berjalan mendekatinya.
Ahh, bala! Perempuan mana pulak ni? Sedap-sedap mulut nak mengutuk aku? Aku bagi penangan cinta karang, mahu tak tidur lapan puluh lima hari!
Emm... sorry ya, cik adik, or cik akak. Saya memang perempuan. Dan untuk pengetahuan cik, saya budak U. Bukan tak reti nak mengeja dan membaca. Saya masuk sini sebab saya sedar diri saya perempuan." Zack membalas dengan lagak egonya, dan segera berdiri menghadap gadis tadi. Zack bercekak pinggang di hadapannya. Panahan mata gadis tadi seperti hujung pisau, takut aku! Jangan tiba-tiba jadi mata Cyclope dalam X-Men sudah! Naya aku karang kena panah dengan laser merah! Tak sanggup, beb! Aku muda lagi kalau nak mati pun!
"Apa? Tak puas hati?" Zack bersuara setelah lama gadis itu diam, cuma matanya sahaja yang merenung ke arah Zack, tajam menikam.
Mak cik tadi pun diam, hanya matanya terkelip-kelip melihat adegan pergaduhan antara seorang perempuan dengan seorang lagi ‘perempuan’ a.k.a. yang diragui kesahihannya yang dia ialah seorang perempuan.
"Memang tak! Keluarkan I.C. bagi saya tengok!" Perempuan ni sekali dia bercakap, bergegar satu surau! Dah macam polis pulak dah main minta-minta kad pengenalan ni!
"Tak payah I.C, nah! Tengok dalam seluar ni! Nak sangat??" Zack sudah memegang zip seluar jeannya untuk dibuka. Riak muka perempuan itu terus berubah, terkejut agaknya dengan balasan Zack. Ha ha ha....! Baru gertak sikit, dah pucat!
"Ahh!! Awak memang gila!" Jerit perempuan itu nyaring, kalah orang azan Subuh!
"Memang aku gila kalau kau nak tau!" Zack membalas, tak mahu jugak mengalah dengan begitu mudah.
"Gila, gila, gila!!" Perempuan tadi mula memukul badan Zack menggunakan tangannya yang cekeding itu. Zack tidak membalas, cuma mencuba mengelak dan mempertahankan dirinya sahaja. Takkan nak gaduh dengan perempuan kut? Tak maco langsung! Gaduh mulut tahan la jugak! Nak gaduh karate, silap hari bulan masuk wad budak perempuan ni kena dengan aku!
Mak cik yang terpinga-pinga tadi mula melangkah masuk ke gelanggang WWE yang secara tak langsung dibuka oleh perempuan bersuara nyaring itu.
"Eh, sudah, sudah! Jangan bergaduh! Dalam surau ni, nak! Tenang!" Mak cik itu cuba mempertahankan Zack yang sedang dipukul-pukul kuat dengan mencuba untuk memegang kedua-dua belah tangan perempuan tersebut.
"Tangkap tangan dia, mak cik! Yes, yes!" Zack menjerit kecoh, seperti menyokong perlawanan gusti yang sedang hangat berlangsung di depan mata. Kakinya ‘digostan’ sedikit ke belakang bagi memberi ruang pada mak cik itu untuk meneruskan ‘penangkapannya’. Budak perempuan itu seperti sudah dirasuk jin kerana tetap melawan dan terjerit-jerit walaupun tangannya sudah ditangkap oleh mak cik itu. Dia terus meronta-ronta melawan.
Kaum-kaum adam pula mula menya lak tirai untuk melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku.
"Eh, apa dah jadi ni?" jerit seorang pak cik yang memakai serban putih di kepala. Beberapa orang lelaki lain yang agak muda pun turut joint bagi menyaksikan kekecohan yang berlaku. Semuanya bagi menjawab persoalan di benak mereka semenjak dari awal tadi lagi.
Serentak dengan jeritan pak cik serban itu, Zack yang sedang bertepuk tangan penuh semangat menyokong mak cik itu pun terhenti. Mak cik dan perempuan itu juga terdiam dan mata mereka bertiga memandang tepat ke arah pak cik serban itu. Muka gadis tadi memerah, mak cik tua itu pula laju melepaskan tangan gadis tersebut.
"Tak ada apa-apa!" Mereka bertiga menjawab serentak. Gadis yang mencari pasal dengan Zack tadi menurunkan kainnya yang diangkat tinggi selepas menyedari ada beberapa lelaki muda merenung-renung ke arahnya dan ketawa menutup mulut kemudiannya. Hampeh! Gatal! Tak padan dengan duk datang surau! Dia membebel di dalam hati.
Perempuan itu pun mula hangin satu badan. Tak boleh jadi ni! Sedap-sedap aje dia orang gelakkan aku. Pada hal, bukan aku yang timbulkan masalah! Egonya berkata. Entah apa kenanya yang dia begitu bersemangat mahu menyerang dan bergaduh dengan Zack. Mungkin terasa naluri kewanitaannya tercabar apabila tempat khas untuk wanita diseludup masuk oleh seorang ‘lelaki’ yang tak nak mengaku dia lelaki!
"Dia ni tak tahu malu masuk tempat solat Muslimah, pak imam!" kata perempuan itu sambil tangannya pantas menunjuk tepat ke muka Zack.
Zack telan air liurnya tiga kali, sambil matanya beralih-alih memandang ke arah pak cik serban dan perempuan muda yang tidak dikenali siapakah namanya itu. Zack berdiri tegak sebijik macam tugu negara di situ menunggu dengan setia tindakan lanjut daripada pak imam..
"Dah tu, dia nak tayang kemaluan dia kat saya!" Sambung perempuan muda itu dengan suaranya yang bertambah-tambah nyaring dari seminit ke seminit. Sebutan perkataan kemaluan itu sengaja ditekan bagi menguatkan tuduhan yang Zacklah punca masalah itu timbul dan bagi mengalihkan perhatian yang diberikan kepadanya dek kerana kain yang diangkat tinggi awal tadi.
Kemaluan? What the hack? Tahun bila pulak aku nak pergi menayang kemaluan kat dia? Sewel agaknya! Aku nak suruh dia tengok spentot (seluar kontot) aku aje pun, bukan nak suruh tengok benda alah aku tu! Ingat senang-senang aku nak tunjuk kat orang macam tu aje ke? Ini bukan website pornografi la! Benda alah tu dah namanya pun kemaluan, of courselah aku sebagai manusia yang normal terasa kemaluannya untuk menunjukkan kemaluan aku ni pada orang lain! Huh! Bengkek hati aku! Tercalar maruah diri! Ceh! Poyo pulak! Apa lagi, cover la diri sendiri!
"Apa pulak, pak cik? Saya nak buka seluar saya, nak suruh dia tengok seluar dalam saya ni khas untuk lelaki ke perempuan? Tu aje pun, pak cik. Takkanlah saya ni gila nak pergi tayang kat dia kut? Kalau ya pun saya nak tayang, baik saya tayang kat pak cik aje, baru berbaloi kalau nak tayang pun, kan?" kata Zack sambil matanya dilirikkan ke arah wanita muda tadi dan keningnya diangkat tanda mencabar.
"Huh!" Wanita muda tadi menjerit kuat kerana bengang, kemudian dengan mata bulatnya, dia merenung dalam ke muka Zack, sebelum riak mukanya berubah. Air matanya mula mengalir dengan perlahan, menuruni pipinya yang agak cekung itu. Air hidungnya pun mula menunjukkan diri. Zack suspen. Mata kaum Adam yang ada di situ mula merenungnya dengan renungan mata membunuh! Mak aiii! Habislah aku karang, gerenti seratus peratus aku kena serang dengan pak cik-pak cik ni semua! Ya Allah! Tolong!!!
"Apa bukti dan hujah kamu kalau betul kamu ni perempuan?" Seorang pak cik bersuara lembut tetapi tegas apabila pak cik serban tadi cuma mendiamkan diri. Mungkin pak cik ni pun salah seorang orang kuat surau tersebut.
Zack melihat pak cik yang bersuara itu dengan ekor mata. Wanita muda tadi dipapah oleh mak cik tua itu ke satu hujung surau dan sedang cuba ditenangkan dengan sabar. Entah apa kes yang nak mencari pasal gila-gila dengan aku. Last-last diri sendiri jugak yang give-up!
"Saudara, saya sedang menunggu jawapan saudara," kata pak cik itu lagi. Nada suaranya kedengaran begitu hambar dan tak bersemangat, umpama orang yang tak makan empat lima hari. Zack bagai orang mamai yang baru bangun daripada tidur. Lagaknya seperti terkejut dengan persoalan yang diberikan kepadanya. Sedar daripada lamunannya, dia pun segera menjawab.
"Buktinya, saya budak yang comel. Mana ada lelaki secomel saya! " jawab Zack selamba.
Muka dan telinga pak cik tadi mula memerah. Dua tiga orang lelaki yang turut serta tadinya, sudah mula menapak keluar dari surau dan beransur pulang ke rumah masing-masing. Mungkin bagi mempersiapkan diri untuk ke tempat kerja.
"Emm... buktinya ada pada I.C... tapi memandangkan beg saya dah kena curi, saya tak dapat nak tunjuk bukti pada pak cik-pak cik dan abang-abang sekalian." Zack menyambung setelah dia merasakan keadaan bukanlah semakin beransur tenang, namun keadaan huru-hara tadinya semakin menjadi-jadi pulak selepas dilihat tiada senyuman sebagai balasan pada gurauannya. Salah timing daaa....
Pak cik tadi diam, begitu juga pak cik serban dan orang lelaki lainnya. Mungkin sedang memikirkan jawapan dan tindakan yang harus diambil bagi menyelesaikan persoalan yang sedang bersarang di kepala otak masing-masing.
"Memang kamu tak tipu kamikan?" tanya pula seorang makhluk Tuhan yang tidak kedengaran pun suaranya dari awal tadi, hanya sekali-sekala kelihatan dia berbisik-bisik dengan rakannya di sebelah.
"Sungguh, bang! Saya tak tipu! Dalam surau ni, takkan saya nak menipu kut, bang," jawab Zack dengan riak muka bersungguh-sungguh.
"Ala, pak cik... lepaskan aje la saya. Bukan saya pergi rogol dia pun. Kalau on purpose pun, takkan la saya nak menghendap kaum sejenis saya kut? Apa kelas macam tu, pak cik. Lagipun, nikan surau, bukannya dia dalam bilik mandi tak pakai apa-apa." Zack memandang ke arah pak cik serban sambil berkata-kata.
Pak cik tersebut memandang Zack dengan mata yang berkelip-kelip.
"Itu pun kalau memanglah dia tak pakai apa-apa dalam bilik mandi tu," sambung Zack selepas dilihatnya beberapa orang lelaki sedang termenung dan kemudiannya tersenyum, mungkin jugak sedang memikirkan benda bukan-bukan selepas mendengar kata-katanya.
"Memanglah tak ada kelas kalau kamu menghendap kaum sejenis kamu. Tapi, kalau dah kamu tu sukakan kaum sejenis, ada tak ada kelas pun, tetap menjadi kesalahan," balas abang tadi.
"Ala... apa ni, bang? Saya memang tak ada perasaan la kat perempuan. Saya normal ni! Tak baik buruk sangka and tuduh orang tanpa bukti!" bantah Zack, membuatkan abang itu pula mula menunjukkan riak marah.
"Kamu cuba hormat sikit orang yang lebih tua!" kata abang itu dengan telinga capangnya yang semakin merah, menandakan darahnya sudah mula naik ke kepala. Namun kemarahannya cuba ditahan dengan nada suranya yang jelas kelihatan cuba dicover supaya tidak meninggi.
"Apa pulak? Dah abang tu tak hormat saya dulu, jangan harap saya nak hormat abang pulak!" jelas Zack dengan nada memerli. Hai... lepas sorang-sorang mula merasa sakit hati dengan Zack dan perangainya yang susah mengalah. Egonya sangat tinggi, apatah lagi apabila berdepan dengan lelaki.
"Sudah, sudah! Jangan bergaduh dalam surau. Cukup! Kamu ikut pak cik keluar. Yang lain, boleh balik bersiap pergi kerja," ucap pak cik serban, cuba menyelamatkan keadaan yang semakin kusut dan tegang itu. Zack direnung tajam. Zack yang sedar dirinya sedang direnung, mula tergaru-garu kepala dan tertunduk-tunduk. Aksi itu memang selalu dibuat bagi memancing rasa simpati dan kasihan orang padanya selepas melihat aksi ala-ala comelnya.
"Tak payah nak buat muka comel pulak! Sebijik semacam Sutun dalam TV9 tu!" balas pak cik serban sambil merenung tajam ke arah Zack.
Ala! Pak cik ni, macam tau pulak aku tengah fikir apa masa buat action tu tadi! Selepas mencebik bibir, dia pun mula melabuhkan punggungnya ke atas kerusi plastik berwarna putih. Kerusi itu diturunkan oleh pak cik serban daripada susunan kerusi yang disusun membentuk satu susuanan kerusi yang tinggi melangit. Kalau terlanggar sikit, gerenti roboh! Memang innalillah siapa yang ada dekat dengan kerusi-kerusi ni! Sempat Zack berbisik di dalam hati.
"Duduk. Kalau betul kamu perempuan, kenapa kamu pakai macam ni? Serupa macam lelaki? Kamu tak boleh salahkan budak perempuan tu tadi, puncanya daripada kamu jugak." Pak cik serban mula berbicara selepas duduk di atas kerusi plastik berhadapan dengan Zack.
Cermin matanya dibetul-betulkan kedudukannya sambil digosok-gosok dagunya yang ditumbuhi oleh janggut putih yang agak jarang. Keseluruhan kepalanya sudah dipenuhi dengan uban-uban putih, seiring umurnya yang semakin menginjak ke masa tua.
"Ayah saya dulu nak anak lelaki, pak cik. Dah tanya mak bidan, memang confirmed saya ni anak lelaki, alih-alih lepas keluar dari perut mak aje, tengok-tengok saya ni jantinanya perempuan pulak. Lepas-lepas daripada tu aje, dia mula didik saya dengan aktiviti-aktiviti lasak. Berkawan pun dengan lelaki, pak cik." Zack bertutur dengan tenang. Matanya diarahkan ke lantai simen kelabu surau tersebut. Dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki tua itu.
Pak cik serban mendengar dengan penuh teliti kemudian kepalanya pun diangguk-anggukkan. Biasa sangat dia mendengar kes-kes sebegitu sekarang ini. Bukanlah perkara baru cerita yang keluar dari mulut mungil gadis berpewatakan lelaki itu.
"Apa pun, nak... tak baik kita melanggar sunnatullah. Kalau Dia jadikan kita perempuan, ada hikmah dan kelebihannya. Kalau dia jadikan kita lelaki pun, ada hikmah dan tanggugjawabnya. Kalau kita cuba langgar, bermacam akibat dan bencana yang akan turun. Tengok ajalah tadi, apa yang kamu dah buat?"
Kata-kata pak cik serban itu, membuatkan Zack diam dan mula terkulat-kulat untuk menjawab. Matanya pula merenung kosong ke arah kakinya yang cuma beralaskan dengan selipar berwarna biru yang kelihatan sudah agak lusuh warnanya. Lusuh-lusuhlah, baru rock!
"Nabi Muhammad S.A.W junjungan kita pun ada bersabda dalam hadisnya yang bermaksud, Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan. Hadis ni diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim," ucap pak cik serban tenang.
Zack terdiam.
"Baginda juga ada bersabda di dalam satu hadis lain yang membawa maksud, Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki. Yang ni pulak diriwayat oleh Abu Daud dan Al-Hakim," kata pak cik serban itu lagi dengan panjang lebar. Dia berharap agar Zack mendengar dan memikirkan tentang apa yang baru disebutkannya tadi.
Kali ini Zack tunduk merenung lantai yang dipijaknya.
"Kenapa kamu diam, nak? Dunia ni dah tak lama nak kiamat. Tanda-tanda kecil dah banyak, antaranya termasuklah tanda lelaki berpakaian seperti wanita dan sebaliknya. Kaum lelaki sekarang pun ramai yang memakai emas dan sutera, teringin benar nak jadi perempuan pulak. Bersyukurlah, nak. Allah dah jadikan yang terbaik buat kita. Cuma kita yang buta, tak sedar kebaikan yang Dia bagi. Hanya nampak semua keburukan aje. Berubahlah, nak.... Tak rugi kalau kita bersabar dan mensyukuri tiap nikmat Allah, ada balasannya nanti. Kalau bukan sekarang pun, insya-Allah ada di akhirat."
Zack termenung sebentar. Memikirkan apa yang diucapkan pak cik serban itu.
"Terima kasih, pak cik... sebab ingatkan saya. Saya akan cuba berubah, tapi buat masa sekarang, hati saya masih tak terbuka untuk berubah. Saya bahagia dengan diri saya sekarang. Saya tak nak hipokrit." Sebijik-sebijik Zack menjawab, mengharap juga yang pak cik di hadapannya itu akan dapat memahaminya.
"Ya... pak cik faham keadaan kamu. Pak cik tak minta kamu berubah sekarang juga. Cuma pak cik minta kamu berfikir menggunakan akal yang waras dan realistik, tu aje nak. Pak cik berharap dan akan berdoa selalu agar anak berubah juga satu hari nanti, insya-Allah."
Pak cik serban itu pun bangun selepas habis bercakap dengan Zack. Zack juga turut serta bangun berdiri bagi menghormati golongan yang lebih tua daripadanya.
"Nah, ambil duit ni, nak. Buat belanja makan. Kesian pak cik tengok kamu ni, serabut semacam aje. Hati-hati nanti. Kalau ada apa-apa, boleh cari pak cik. Rumah pak cik dekat belakang surau ni aje. Jaga diri baik-baik. Pak cik kena balik dulu, ada hal yang nak diuruskan. Assalamualaikum!"
"Waalaikumussalam. Terima kasih, pak cik! Moga Allah panjangkan umur pak cik!" Zack merenung not lima ringgit yang diberikan oleh pak cik tadi. Pak cik itu mengambil duit tersebut dari poket baju Melayu yang dipakainya tadi. Dah reserved duit tu awal-awal untuk beli nasi lemak, tapi apabila dah berjumpa dengan Si Zack, rasa kasihan membuatkannya memberikan sahaja duit tersebut kepada Zack.
"ABANG DIN!"
"Eh? Zack? Jumpa tak balai?"
"Jumpa. Dalam mimpi semalam," jawabnya endah tak endah selepas berpenat lelah dia berpatah balik ke kedai makan Abang Din. Itu pun dah tersesat empat kali.
"Apa dah jadi ni? Kenapa muka hitam-hitam macam arang ni? Allah... kesiannya. Jom ikut abang balik rumah kejap lagi." Abang Din jugak yang dicari akhirnya. Kerana rasa-rasanya Abang Din ni ada aura nasib baik. Dekat dengan dia aje, nasib pun jadi baik. He he he ada pulak orang macam tu?
"Eh, tak apalah, bang. Saya nak tempah air sikit, boleh? Dua minit lagi saya tak minum, aneroksia la saya, bang!" Lalu dia pun mengeluarkan duit kertas satu ringgit, sebanyak dua helai dari dalam poketnya. Duit itu sudah pun lunyai dek kerana terwap di dalam poketnya dan juga kerana peluhnya.
"Nah! Lepas minum, ikut abang balik," kata Abang Din selepas meletakkan gelas berisi air putih di dalamnya.
"Eh, tak apa bang. Abang tak payah susah-susah! Hantar aje saya pergi rumah orang tua-tua. Eh, silap pulak! Rumah kebajikan masyarakat. Sebab, sayalah budak yang paling kesian kat dunia ni! Uwa!!" Mula dah gila dia.
"Calllah saudara terdekat. Mak, ayah, mana?"
"Saya nikan bang, bukan nak kecohlah. Tapi, saya memang nak kena beritahu jugak. Dulu-dulu, kalau cikgu panggil suruh saya baca sifir, endingnya memang kena berdiri atas meja! Tak pernah lepas langsung! Saya dapat bagus dalam matematik SPM pun, sebabnya sekarangkan dah ada kalkulator. Tak payah bengap-bengapkan kepala hafal sifir!"
"Ha, betul betul betul!" kata Abang Din meniru gaya kartun Upin Ipin.
"So? Apa yang nak disampaikan?" tanya Abang Din hairan.
"Jadinya, disebabkan itulah, nombor telefon mak ayah saya tak hafal! Uwa!!"
"Mak aiii!!" Abang Din menepuk dahinya kuat.
0 comments:
Post a Comment